Tuesday, November 12, 2013

'Sayang Disayang' in the Philippines

So yeah, after more than 5 years, my debut feature, Sayang Disayang, will have its World Premiere at the SalaMindanaw International Film Festival 26 - 30 Nov 2013. It will compete with 7 other feature films in the main section for Best Feature and the NETPAC award. 

This article is reproduced from SPH's Berita Minggu (10 Nov 2013).

POTENSI FILEM MELAYU SINGAPURA
'Sayang Disayang' di Filipina
Oleh HARYANI ISMAIL


PEMBIKIN filem setempat mana yang enggan hasil titik peluh mereka ditayang di negara sendiri?

Bagaimanapun, selagi pengendali pawagam masih beranggapan filem-filem tempatan tiada ruang masuk pawagam kerana kurang nilai komersialnya, maka hajat itu terbiar tidak kesampaian.

Yang mampu pengarah filem berwibawa seperti Sanif Olek lakukan buat masa ini adalah menyertakan filem-filemnya ke pesta filem antarabangsa.

Ternyata, penat lelah Sanif, 43 tahun, menyiapkan filem Sayang Disayang yang dibintangi pelakon prolifik dari seberang, Datuk Rahim Razali, berbaloi.

Filem yang turut dijayakan Alin Mosbit, Rafaat Hamzah dan Asnida Daud itu terpilih sebagai salah sebuah daripada lapan filem utama yang dipertandingkan dalam Pesta Filem Antarabangsa SalaMindanaw di kota General Santos, Filipina.

Sebuah lagi filem Singapura, Liberta, arahan Kan Lume, juga terpilih bersama filem-filem dari Filipina, Kazakhstan, Thailand dan Sri Lanka.

Ini kali pertama Pusat Kesenian Filem Socsksargen dengan kerjasama Pusat Imej Bergerak Mindanao menganjurkan pesta filem dari 26 hingga 30 November ini.

Ketika ditemui Berita Minggu baru-baru ini, Sanif tampak lega bahawa filem yang diusahakan sejak 2009 dan pernah tergendala pembikinannya kerana tidak cukup dana akhirnya ditayang dan dipertandingkan.

Beliau mengharapkan filem itu juga akan mengembara jauh seperti filem pertamanya, Lost Sole, yang ditayangkan di Amerika Selatan, Amerika Utara, Australia, Eropah dan Afrika.

"Saya terharu filem ini dipilih dalam kalangan ribuan filem serata dunia. Tentunya impian semua pembikin filem adalah melihat filem mereka ditayangkan di pawagam setempat.

"Cuma kesukarannya terasa sebab ia filem Melayu. Timbul juga tanggapan, selagi ia belum mengembara ke pesta filem besar-besaran seperti Cannes atau memenangi anugerah antarabangsa, ia kurang berpotensi ditayang di pawagam setempat," jelasnya.

Ditanya apakah kemajuan filem Melayu setempat juga dihambat dek pendirian penonton yang sudah terbiasa dengan filem Hollywood, Sanif tertawa dan berkata:

"Kebanyakan warga Singapura melihat filem sebagai satu unsur hiburan sahaja tanpa mementingkan nilai-nilai kebudayaan.

"Justeru, mereka puas setakat menonton DVD atau YouTube. Pembikinan filem macam proses menghasilkan bahan bacaan - ada tabloid dan buku sastera.

"Orang lebih suka tabloid yang padat dengan bahan gosip yang santai dan ringan berbanding buku sastera yang menuntut mereka berfikir tentang plot, persoalan dan perutusan."

Sayang Disayang, misalnya, lebih seperti bahan sastera kerana mengupas isu-isu nilai kekeluargaan dan penjagaan warga senja oleh orang yang tiada kaitan darah dengannya.

Justeru, apa lagi yang diperlukan bagi membangkitkan semula industri filem Melayu agar tidak tenggelam ditelan zaman?

Kata Sanif: "Pertama, seandainya filem Melayu dianggap sebagai filem Singapura dan bahasa tidak dijadikan isu.

"Kedua, alangkah baiknya jika ada usaha serantau mempertandingkan filem-filem Nusantara (Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei), semacam Anugerah Planet Muzik (APM), yang dapat menjana semangat pembikin filem ini."


No comments: