This paper was originally presented at the Seminar Kesusasteraan Antarabangsa Asia Tenggara (SAKAT) by the Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Brunei Darussalam on 18 September 2014.
SASTERA
GLOBALISASI DAN TRANSNATIONALISME
Sanif Olek
Abstrak: Bagaimanakah penerbit filem Melayu Nusantara dapat membentuk
identiti mereka tersendiri di pentas antarabangsa seperti Bruce Lee, Jackie
Chan, Ang Lee, Satyajit Ray, Amitabh Bachchan dan Aishwarya Rai? Ramai peminat
filem Melayu di Singapura berpendapat bahawa puncak filem Melayu era P Ramlee yang
menjadi pujaan di layar perak tidak mungkin dapat dicapai lagi. Namun, adakah
relevan untuk kita membincangkan tentang ‘era gemilang’ filem-filem Melayu dalam
konteks Singapura hari ini? Perbincangan kita sewajarnya tertumpu kepada perkembangan
filem ber-identiti Nusantara yang boleh bersaing dengan filem-filem Bollywood
atau Cina.
Pengenalan
Saya ingin terlebih dahulu merakamkan
penghargaan kepada Dr Muhammad Ariff Ahmad, seorang sasterawan dan budayawan
negara Singapura, yang telah mencungkil jiwa dan membuka minda saya tentang pentingnya
peranan anak watan Melayu untuk menegakkan bahasa dan budaya ibundanya.
Dalam konteks Singapura hari
ini, jarang sekali kita dengar orang Melayu kita bertutur dalam bahasa ibundanya.
Semasa saya membesar, saya dikelilingi rakan-rakan bangsa asing. Orang tua saya
juga menggalakkan saya supaya bergaul dengan orang yang bukan Melayu. Saya
dibesarkan dalam keadaan yang serba tidak berkemampuan. Ibu bapa saya merupakan
pekerja kolar biru. Mereka berpendapat bahawa jika anak-anak mereka fasih
berbahasa Inggeris, kami dapat bersaing dengan bangsa lain di Singapura. Bahasa
Inggeris memainkan peranan yang penting dalam urusan harian kita di Singapura.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna yang saya lupa dan tidak mengerti bahasa
Melayu kerana sememangnya saya orang Melayu.
Berbalik semula kepada Dr Muhammad
Ariff Ahmad, beliau pernah memberi nasihat yang hingga kini masih saya pegang: "Biar
bual Melayunya kurang, asal jangan hilang jiwa dan bahasanya."
Layar Perak Singapura
Masih ramai pencinta filem Melayu beranggapan bahawa zaman
kegemilangan atau ‘Golden Age’ layar perak Melayu ialah semasa studio Shaw Brothers
dan Cathay Keris menerbitkan filem-filem Melayu. Kedua-dua studio tersebut bertapak
di Jalan Ampas dan Jalan Buloh Perindu di Singapura yang pada ketika itu
sebahagian dari Malaya. Ketika itu, penerbit atau pengarah filem seperti P
Ramlee, M Amin dan Hussein Haniff amat prolifik. Selaras dengan lingua-franca
era tersebut, semua filem-filem mereka adalah dalam bahasa Melayu. Banyak
adengan dalam filem-filem tersebut mengupas mengenai kehidupan orang Melayu. Banyak
dialog filem mengandungi sindiran tentang masyarakat Melayu. Teguran yang
disampaikan secara santai dan menghiburkan mendapat sokongan dari masyarakat
umum. Sambutan yang kuat memberi keuntungan yang besar kepada studio-studio
tersebut. Sebelum P Ramlee, Hussein Haniff dan M Amin dikenali, filem-filem Melayu
diterbitkan oleh pengarah dan kakitangan studio yang dijemput khas dari luar
Malaya. Jalan cerita filem-filem tersebut banyak disesuaikan dari cerita-cerita
asing seperti yang tertera dalam filem-filem Laila Majnun dan Chinta.
Ramai pengarah yang diundang khas tidak fasih dalam
bahasa dan budaya Melayu. Jadi, studio-studio menggajikan penduduk tempatan sebagai
pembantu pengarah dan kakitangan studio. Tugas mereka ialah untuk menyesuaikan
cerita asing tersebut untuk santapan jiwa Melayu. Lama-kelamaan, kakitangan studio
menjadi mahir disebabkan oleh latihan yang diberikan. Kakitangan yang berbakat
seperti P Ramlee dan M Amin kemudiannya mendapat keyakinan daripada studio dan
dinaikkan pangkat menjadi pengarah. P Ramlee dan M Amin memulakan kerjaya mereka
sebagai pengarah dengan filem Penarik Beca dan filem Lancang Kuning.
Dari situlah bermula era gemilang bagi layar perak Melayu. Ini ialah kerana
filem-filem seperti Ibu Mertuaku, Antara Dua Darjat dan Semerah
Padi adalah karya yang dihasilkan dari kaca mata dan jiwa orang Melayu
sendiri. Selain cerita yang direka asal, terdapat juga sastera dan lagenda
Melayu yang disesuaikan untuk filem seperti Hikayat Hang Tuah, Lancang
Kuning, Dang Anom dan Batu Belah Batu Bertangkup.
Menjelang akhirnya zaman Malaya, pembikinan filem di
Singapura jatuh menjunam apabila Shaw Brothers menutup studio dan berpindah ke
Hong Kong pada tahun 1967. Studio Cathay-Keris pula ditutup pada tahun 1972. Kebanyakan
artis Melayu dan pengarah filem dari kedua-dua studio telah berpindah ke
Malaysia. Sebagai rakyat bumiputra di
Malaysia, artis-artis Melayu menerima penghormatan dan kehidupan yang
lebih senang. Artis-artis yang memutuskan untuk terus menetap di Singapura pula
mengalami kesusahan, hidup mereka melarat; mereka merempat bagaikan anak kucing
yang ditinggalkan ibu.
Walaupun industri perfileman di Malaysia berakar dan
berkembang, industri filem di Singapura terbantut. Apabila Singapura berpisah
dari Malaysia pada 1965, Singapura lebih mementingkan hal-hal pembinaan negara.
Seni dan budaya, termasuk pembikinan filem dianggap perkara yang remeh. Pada
masa yang sama, televisyen telah mula bertapak. Pengendali pawagam menayangkan
filem-filem dari Hollywood dan Bollywood kerana filem-filem tersebut membawa
keuntungan yang lebih besar. Sedang perindustrian semakin rancak, penghasilan
filem-filem di Singapura kering-kontang, malap berjerebu.
Lost Sole
Pada akhir tahun 2005, saya telah menerbitkan sebuah
filem pendek, Lost Sole mengenai
Haji Sabtu yang kehilangan seliparnya selepas solat Jumaat. Filem pendek
ini telah meraih penerimaan lebih tiga puluh festival filem antarabangsa
termasuk di Amerika Utara, Eropah, Afrika, Australia dan Nusantara. Ia mendapat
dua anugerah filem terbaik dari Iran dan India. Lost Sole disampaikan
dalam bahasa Bawean and Melayu. Idea ini tercetus semasa pendebatan bahawa
bahasa lain selain daripada bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu, Tamil, Mandarin
dan Bahasa Inggeris, tidak digalakkan dalam media massa. Ia juga merupakan kali
pertama dimana bahasa dialek Bawean telah digunakan dalam penyiaran dramatik di
Singapura.
Lost Sole telah juga
ditayangkan di Museum of Modern Art (MoMA) di New York. Pada tahun 2009,
penulis prolifik dan penerbit filem Malaysia, Amir Muhammad, memperkenalkan Lost
Sole sebagai satu filem Melayu yang akan mencetuskan fenomena di layar perak
Melayu di Singapura. Bagi saya, ini merupakan detik penting kerana dunia kini
mula menumpukan perhatian kepada ‘suara Melayu’ dalam layar perak dari
Singapura.
Tanggapan
Pengiktirafan Lost Sole membuka mata saya tentang
persepsi masyarakat yang kurang arif tentang filem Melayu Singapura. Semasa
sesi tayangan, saya sering ditanyakan soalan-soalan mengenali perbezaan di
antara “Malay, Malaya and Malaysia” (Melayu, Tanah Melayu dan Malaysia). Ada
kalanya, saya juga terpaksa menanya balik kepada si penanya, "Kenapa ada orang yang berkulit gelap
di Singapura?"
Pernah suatu ketika dahulu, ramai orang berketurunan
Bawean di Singapura tidak mahu dan malu untuk mengaku bahawa diri mereka orang
Bawean. Ramai generasi pelopor Singapura keturunan Bawean dikatakan suka
berdukun dan menyimpan saka. Maka itu, kita sering dengar cerita-cerita orang
Bawean yang berjaya hanya kerana mereka menggunakan kuasa ghaib. Dikatakan juga
yang ramai masyarakat bangsa Cina suka tinggal di kalangan orang Melayu berketurunan
Bawean kerana mereka ingin mendapat tuah dalam loteri. Perkara ini sangat ironik
kerana ramai para ulama Islam di Singapura berketurunan Bawean.
Lost Sole diterbitkan
sepuluh tahun selepas saya lulus dari sekolah filem pada tahun 1996. Saya memulakan
kerjaya saya dalam televisyen dimana saya telah menerima banyak anugerah dalam bidang
arahan, dan saya juga telah menghasilkan banyak program televisyen yang mempunyai
rating yang tinggi. Saya rasa, pengakuan yang saya berketurunan Bawean telah
‘membuka mata’ ramai orang. Saya juga merasakan bahawa Lost Sole adalah
satu sebab yang saya telah dianugerahkan ‘Bawean Teladan’ pada tahun 2010 oleh
Persatuan Bawean Singapura – saya merupakan penerima ke-enam dan termuda. Saya juga
bersyukur kerana pada awal tahun 2014, masyarakat Bawean telah diberi
penghormatan sebagai kumpulan etnik Melayu yang pertama untuk mempamerkan
kebudayaan kita dalam pameran LAAOBE (Sudah Berubah), anjuran Lembaga
Warisan Negara (National Heritage Board) di Taman Warisan Melayu.
Filem Melayu dan Nusantara
Kekurangan ikon yang dikenali dunia menyebabkan layar
perak Melayu tidak diberi perhatian bila filem-filem Melayu dibawa ke peringkat
antarabangsa. Layar perak Cina mempunyai Bruce Lee, Jackie Chan, kungfu dan Ang
Lee. Layar perak India pula mempunyai Bollywood, Satyajit Ray, A Rahman Khan,
Amitabh Bachchan dan Aishwarya Rai. Adakah Nusantara mampu mengeluarkan ikon
layar perak yang boleh mewakili filem Melayu di persada dunia?
Filem Melayu Singapura Bangkit
Sayang Disayang
Filem ‘putar-panjang’, Sayang Disayang, adalah sebuah ‘naskah’ yang merangkuli semua aspek
Nusantara yang kaya dengan khazanah makanan, muzik dan tata susilanya dalam
satu wadah. Filem ini ialah mengenai keluhan pembantu rumah, Murni, yang
mencari-cari ramuan khas sambal goreng untuk dimasak supaya dapat mengembirakan
majikannya.
Seperti Lost Sole,
saya mendapat banyak pertanyaan dan cemuhan tentang filem Sayang Disayang. Seorang penceramah mendakwa bahawa istilah ‘Nusantara’
hanya merangkumi tanah Indonesia. Beliau juga menambahkan bahawa sambal goreng
adalah “hak” mereka. Ramai orang Melayu di Malaysia merujuk kepada negara
Singapura dengan nama Inggerisnya, Singapore. Ramai pelakon dan penulis skrip
Malaysia mendebatkan penggunaan istilah ‘bilang’ yang lebih senang digunakan di
Singapura daripada istilah ‘cakap’. Ada penonton yang meminta penjelasan mengapakah
lagu Indonesia seperti Si Jali-Jali dan Pesan Kakek disaingkan
dengan lagu Sayang Disayang oleh Pak Zubir Said (kelahiran tanah Sumatra
Barat) dari Singapura dan Hanya Menari oleh penyanyi Imran Ajmain,
seorang artis kelahiran Singapura yang menetap di Malaysia. Ramai penonton
Melayu juga mempersoalkan pemilihan Aidli Mosbit (yang melakonkan watak Murni
dari Aceh) kerana beliau tidak kelihatan cukup keIndonesiaan.
Tin Kosong
Filem pendek Tin
Kosong saya telah diadaptasikan daripada sebuah cerpen tulisan Muhammad Salihin
Sulaiman, penerima hadiah Golden Point Award (National Arts Council) dan PENA-MAS
(Cikgu Ariff Ahmad Foundation). Ia adalah satu projek filem oleh Majlis
Kebudayaan Seni Singapura (National Arts Council) untuk Festival Penulis
Singapura (Singapore Writers Festival) 2014. Filem ini mengisahkan tentang
seorang warga tua yang bekerja sebagai seorang karung guni yang mengumpulkan
barang yang dibuang orang untuk dijual. Bagi saya, ini adalah projek filem
pertama saya di mana ceritanya diambil dari bahan sastera yang telah
diterbitkan.
Proses penterjemahan kandungan buku kepada wadah visual
bukanlah satu perkara yang mudah. Kaca mata pembuat filem berlainan dari kaca mata
penulis asal cerita. Namun begitu, filem adaptasi itu masih mengandungi
intipati cerita asalnya. Dalam sesi tayangan filem ini, ramai penonton
seolah-olah tidak menyedari sumbangan besar penyanyi malar hijau R Azmi kepada
muzik pop Melayu pada zaman era Malaya. Lagu Kalau Ke Singapura oleh R Azmi telah digunakan dalam filem Tin Kosong dalam satu adengan muzikal ala Bollywood.
Persimpangan
Pada tahun 1993, Polyteknik Ngee Ann telah menubuhkan
Jabatan Filem, Bunyi dan Video yang menawarkan kursus perfileman. Kursus ini
merupakan kursus perintis bidang perfileman di Singapura. Sebanyak empat puluh
pelajar telah diterima untuk kursus Diploma tersebut. Pada 2014, selain
daripada Polyteknik Ngee Ann, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Universiti
Teknologi Nanyang (NTU) juga menawarkan kursus perfileman di peringkat sijil
dan ijazah. Kursus-kursus filem juga diluaskan ke sekolah-sekolah tersebut untuk
menjadikan Singapura sebagai pusat media yang unggul di Asia Tenggara.
Namun, kita kini menghadapi beberapa cabaran-cabaran
baru. Adakah bilangan graduan filem selaris dengan kualiti filem yang
dihasilkan? Sering diperdebatkan bahawa dalam dunia perfileman, daya naluri (aptitude)
lebih penting dari kertas kelayakan. Ada juga yang berpendapat bahawa kertas
kelayakan dari sekolah perfileman penting sebagai ilmu asas bagi mereka yang
ingin bertapak dalam seni tersebut. Pengarah Hollywood terkenal, Paul Thomas
Anderson, Quentin Tarantino dan Christopher Nolan, pernah mengatakan bahawa mereka
menganggap sekolah perfileman tidak berfaedah kerana filem lebih berkesan jika
dipelajari dengan hanya menonton banyak filem.
Namun demikian, saya percaya bahawa
setiap ilmu teori yang dipelajari itu penting kerana ia memberi asas mengenai
teknik dalam filem dan segi perfileman. Dari situlah, si pembuat filem boleh
menimbangkan tentang cara yang paling berkesan bila mereka membuat filem kelak.
Hakikat wadah filem sememangnya ialah untuk bercerita. Teknologi
mungkin memudahkan cara membuat filem, tetapi “Story is King”, yang paling
penting adalah ceritanya. Alfred Hitchcock pernah berkata, “Skrip, skrip dan
skrip adalah perkara yang anda perlukan untuk buat filem berkesan.”
Kamera DSLR telah menunjukkan yang filem boleh dibuat
oleh sesiapa sahaja yang mempunyai alat video digital boleh ‘buat filem’.
Memang seronok bila kita lihat semakin ramai yang merakamkan luahan jiwa
masing-masing dalam wadah filem. Tetapi, ramai yang tidak tahu bahawa apa yang mereka
rakamkan dalam kamera tidak semestinya berinti dan bernilai. Ilmu untuk membuat
filem bukan hanya terletak pada daya ‘cukup muat’ dengan suntingan yang mewah
(flashy edits) dan kesan khas (special effects).
Kesimpulan
Apabila kita menonton layar perak dari Cina dan
Bollywood-India, kita sering kagum dengan ikon-ikon mereka seperti Bruce Lee,
Jackie Chan, Ang Lee, Amitabh Bachchan dan Aiswarya Rai. Mungkin sudah tiba masanya
layar perak Melayu-Nusantara bersatu untuk menerbitkan satu identiti yang ikonik
dan dikenali di peringkat antarabangsa. Apabila kita bincangkan tentang
filem-filem Nusantara yang kononnya serumpun, konteks perbincangan tersebut
terhad pada satu-satunya negeri seperti Malaysia dan Indonesia. Ramaikan orang
di Indonesia kenal dengan Aaron Aziz? Dan ramaikah orang di Singapura dan
Malaysia yang kenal dengan Reza Rahardian?
Segelintir golongan romantis filem Melayu Singapura dan
Malaysia merungut bahawa ‘zaman kegemilangan’ layar perak Melayu sudah lenyap
dengan pemergian P Ramlee. Kononnya kemahiran P Ramlee dan ahli-ahli
seangkatannya tidak mampu ditiru oleh orang Melayu zaman ini. Tetapi, dengan
arus sosio-konteks sekarang, adakah tepat untuk kita mengaitkan filem-filem
hasil zaman tersebut dengan filem-filem Melayu zaman sekarang?
Alangkah menariknya sekiranya kita dapat pergi ke era
lima puluh tahun hadapan dan bertanyakan kepada masyarakat Melayu pada zaman itu
tentang ‘kegemilangan’ filem Melayu (zaman ini). Apakah yang mungkin mereka
katakan?
Nota:
Setakat ini, Singapura
telah menerbitkan dua filem putar-panjang jiwa Melayu; Sayang Disayang (2014, reeljuice films) dan Banting (2014, Papahan Films). Sayang Disayang telah dipilih sebagai
filem yang mewakili Singapura ke Academy Awards®/ Oscars® 2015 dalam kategori
Filem Terbaik Bahasa Asing. Ia adalah filem berbahasa Melayu yang pertama
dihantar untuk mewakili Singapura.
Sanif Olek merupakan seorang penerbit-pengarah filem
dan drama televisyen sejak 1996. Ketua konsultan reeljuice, Singapura. Filem arahannya, Sayang Disayang, mewakili Singapura ke
Oscars® 2015 dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.