Monday, April 27, 2015

MASTERA | SAKAT 2014 (amended 2015)

This paper was originally presented at the Seminar Kesusasteraan Antarabangsa Asia Tenggara (SAKAT) by the Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Brunei Darussalam on 18 September 2014.



SASTERA GLOBALISASI DAN TRANSNATIONALISME

Sanif Olek


Abstrak: Bagaimanakah penerbit filem Melayu Nusantara dapat membentuk identiti mereka tersendiri di pentas antarabangsa seperti Bruce Lee, Jackie Chan, Ang Lee, Satyajit Ray, Amitabh Bachchan dan Aishwarya Rai? Ramai peminat filem Melayu di Singapura berpendapat bahawa puncak filem Melayu era P Ramlee yang menjadi pujaan di layar perak tidak mungkin dapat dicapai lagi. Namun, adakah relevan untuk kita membincangkan tentang ‘era gemilang’ filem-filem Melayu dalam konteks Singapura hari ini? Perbincangan kita sewajarnya tertumpu kepada perkembangan filem ber-identiti Nusantara yang boleh bersaing dengan filem-filem Bollywood atau Cina.

Pengenalan

Saya ingin terlebih dahulu merakamkan penghargaan kepada Dr Muhammad Ariff Ahmad, seorang sasterawan dan budayawan negara Singapura, yang telah mencungkil jiwa dan membuka minda saya tentang pentingnya peranan anak watan Melayu untuk menegakkan bahasa dan budaya ibundanya.

Dalam konteks Singapura hari ini, jarang sekali kita dengar orang Melayu kita bertutur dalam bahasa ibundanya. Semasa saya membesar, saya dikelilingi rakan-rakan bangsa asing. Orang tua saya juga menggalakkan saya supaya bergaul dengan orang yang bukan Melayu. Saya dibesarkan dalam keadaan yang serba tidak berkemampuan. Ibu bapa saya merupakan pekerja kolar biru. Mereka berpendapat bahawa jika anak-anak mereka fasih berbahasa Inggeris, kami dapat bersaing dengan bangsa lain di Singapura. Bahasa Inggeris memainkan peranan yang penting dalam urusan harian kita di Singapura. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna yang saya lupa dan tidak mengerti bahasa Melayu kerana sememangnya saya orang Melayu.

Berbalik semula kepada Dr Muhammad Ariff Ahmad, beliau pernah memberi nasihat yang hingga kini masih saya pegang: "Biar bual Melayunya kurang, asal jangan hilang jiwa dan bahasanya."

Layar Perak Singapura

Masih ramai pencinta filem Melayu beranggapan bahawa zaman kegemilangan atau ‘Golden Age’ layar perak Melayu ialah semasa studio Shaw Brothers dan Cathay Keris menerbitkan filem-filem Melayu. Kedua-dua studio tersebut bertapak di Jalan Ampas dan Jalan Buloh Perindu di Singapura yang pada ketika itu sebahagian dari Malaya. Ketika itu, penerbit atau pengarah filem seperti P Ramlee, M Amin dan Hussein Haniff amat prolifik. Selaras dengan lingua-franca era tersebut, semua filem-filem mereka adalah dalam bahasa Melayu. Banyak adengan dalam filem-filem tersebut mengupas mengenai kehidupan orang Melayu. Banyak dialog filem mengandungi sindiran tentang masyarakat Melayu. Teguran yang disampaikan secara santai dan menghiburkan mendapat sokongan dari masyarakat umum. Sambutan yang kuat memberi keuntungan yang besar kepada studio-studio tersebut. Sebelum P Ramlee, Hussein Haniff dan M Amin dikenali, filem-filem Melayu diterbitkan oleh pengarah dan kakitangan studio yang dijemput khas dari luar Malaya. Jalan cerita filem-filem tersebut banyak disesuaikan dari cerita-cerita asing seperti yang tertera dalam filem-filem Laila Majnun dan Chinta.

Ramai pengarah yang diundang khas tidak fasih dalam bahasa dan budaya Melayu. Jadi, studio-studio menggajikan penduduk tempatan sebagai pembantu pengarah dan kakitangan studio. Tugas mereka ialah untuk menyesuaikan cerita asing tersebut untuk santapan jiwa Melayu. Lama-kelamaan, kakitangan studio menjadi mahir disebabkan oleh latihan yang diberikan. Kakitangan yang berbakat seperti P Ramlee dan M Amin kemudiannya mendapat keyakinan daripada studio dan dinaikkan pangkat menjadi pengarah. P Ramlee dan M Amin memulakan kerjaya mereka sebagai pengarah dengan filem Penarik Beca dan filem Lancang Kuning. Dari situlah bermula era gemilang bagi layar perak Melayu. Ini ialah kerana filem-filem seperti Ibu Mertuaku, Antara Dua Darjat dan Semerah Padi adalah karya yang dihasilkan dari kaca mata dan jiwa orang Melayu sendiri. Selain cerita yang direka asal, terdapat juga sastera dan lagenda Melayu yang disesuaikan untuk filem seperti Hikayat Hang Tuah, Lancang Kuning, Dang Anom dan Batu Belah Batu Bertangkup.

Menjelang akhirnya zaman Malaya, pembikinan filem di Singapura jatuh menjunam apabila Shaw Brothers menutup studio dan berpindah ke Hong Kong pada tahun 1967. Studio Cathay-Keris pula ditutup pada tahun 1972. Kebanyakan artis Melayu dan pengarah filem dari kedua-dua studio telah berpindah ke Malaysia. Sebagai rakyat bumiputra di Malaysia, artis-artis Melayu menerima penghormatan dan kehidupan yang lebih senang. Artis-artis yang memutuskan untuk terus menetap di Singapura pula mengalami kesusahan, hidup mereka melarat; mereka merempat bagaikan anak kucing yang ditinggalkan ibu.

Walaupun industri perfileman di Malaysia berakar dan berkembang, industri filem di Singapura terbantut. Apabila Singapura berpisah dari Malaysia pada 1965, Singapura lebih mementingkan hal-hal pembinaan negara. Seni dan budaya, termasuk pembikinan filem dianggap perkara yang remeh. Pada masa yang sama, televisyen telah mula bertapak. Pengendali pawagam menayangkan filem-filem dari Hollywood dan Bollywood kerana filem-filem tersebut membawa keuntungan yang lebih besar. Sedang perindustrian semakin rancak, penghasilan filem-filem di Singapura kering-kontang, malap berjerebu.


Lost Sole

Pada akhir tahun 2005, saya telah menerbitkan sebuah filem pendek, Lost Sole mengenai Haji Sabtu yang kehilangan seliparnya selepas solat Jumaat. Filem pendek ini telah meraih penerimaan lebih tiga puluh festival filem antarabangsa termasuk di Amerika Utara, Eropah, Afrika, Australia dan Nusantara. Ia mendapat dua anugerah filem terbaik dari Iran dan India. Lost Sole disampaikan dalam bahasa Bawean and Melayu. Idea ini tercetus semasa pendebatan bahawa bahasa lain selain daripada bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu, Tamil, Mandarin dan Bahasa Inggeris, tidak digalakkan dalam media massa. Ia juga merupakan kali pertama dimana bahasa dialek Bawean telah digunakan dalam penyiaran dramatik di Singapura.

Lost Sole telah juga ditayangkan di Museum of Modern Art (MoMA) di New York. Pada tahun 2009, penulis prolifik dan penerbit filem Malaysia, Amir Muhammad, memperkenalkan Lost Sole sebagai satu filem Melayu yang akan mencetuskan fenomena di layar perak Melayu di Singapura. Bagi saya, ini merupakan detik penting kerana dunia kini mula menumpukan perhatian kepada ‘suara Melayu’ dalam layar perak dari Singapura.


Tanggapan

Pengiktirafan Lost Sole membuka mata saya tentang persepsi masyarakat yang kurang arif tentang filem Melayu Singapura. Semasa sesi tayangan, saya sering ditanyakan soalan-soalan mengenali perbezaan di antara “Malay, Malaya and Malaysia” (Melayu, Tanah Melayu dan Malaysia). Ada kalanya, saya juga terpaksa menanya balik kepada si penanya, "Kenapa ada orang yang berkulit gelap di Singapura?"

Pernah suatu ketika dahulu, ramai orang berketurunan Bawean di Singapura tidak mahu dan malu untuk mengaku bahawa diri mereka orang Bawean. Ramai generasi pelopor Singapura keturunan Bawean dikatakan suka berdukun dan menyimpan saka. Maka itu, kita sering dengar cerita-cerita orang Bawean yang berjaya hanya kerana mereka menggunakan kuasa ghaib. Dikatakan juga yang ramai masyarakat bangsa Cina suka tinggal di kalangan orang Melayu berketurunan Bawean kerana mereka ingin mendapat tuah dalam loteri. Perkara ini sangat ironik kerana ramai para ulama Islam di Singapura berketurunan Bawean.

Lost Sole diterbitkan sepuluh tahun selepas saya lulus dari sekolah filem pada tahun 1996. Saya memulakan kerjaya saya dalam televisyen dimana saya telah menerima banyak anugerah dalam bidang arahan, dan saya juga telah menghasilkan banyak program televisyen yang mempunyai rating yang tinggi. Saya rasa, pengakuan yang saya berketurunan Bawean telah ‘membuka mata’ ramai orang. Saya juga merasakan bahawa Lost Sole adalah satu sebab yang saya telah dianugerahkan ‘Bawean Teladan’ pada tahun 2010 oleh Persatuan Bawean Singapura – saya merupakan penerima ke-enam dan termuda. Saya juga bersyukur kerana pada awal tahun 2014, masyarakat Bawean telah diberi penghormatan sebagai kumpulan etnik Melayu yang pertama untuk mempamerkan kebudayaan kita dalam pameran LAAOBE (Sudah Berubah), anjuran Lembaga Warisan Negara (National Heritage Board) di Taman Warisan Melayu.


Filem Melayu dan Nusantara

Kekurangan ikon yang dikenali dunia menyebabkan layar perak Melayu tidak diberi perhatian bila filem-filem Melayu dibawa ke peringkat antarabangsa. Layar perak Cina mempunyai Bruce Lee, Jackie Chan, kungfu dan Ang Lee. Layar perak India pula mempunyai Bollywood, Satyajit Ray, A Rahman Khan, Amitabh Bachchan dan Aishwarya Rai. Adakah Nusantara mampu mengeluarkan ikon layar perak yang boleh mewakili filem Melayu di persada dunia?


Filem Melayu Singapura Bangkit
Sayang Disayang

Filem ‘putar-panjang’, Sayang Disayang, adalah sebuah ‘naskah’ yang merangkuli semua aspek Nusantara yang kaya dengan khazanah makanan, muzik dan tata susilanya dalam satu wadah. Filem ini ialah mengenai keluhan pembantu rumah, Murni, yang mencari-cari ramuan khas sambal goreng untuk dimasak supaya dapat mengembirakan majikannya.

Seperti Lost Sole, saya mendapat banyak pertanyaan dan cemuhan tentang filem Sayang Disayang. Seorang penceramah mendakwa bahawa istilah ‘Nusantara’ hanya merangkumi tanah Indonesia. Beliau juga menambahkan bahawa sambal goreng adalah “hak” mereka. Ramai orang Melayu di Malaysia merujuk kepada negara Singapura dengan nama Inggerisnya, Singapore. Ramai pelakon dan penulis skrip Malaysia mendebatkan penggunaan istilah ‘bilang’ yang lebih senang digunakan di Singapura daripada istilah ‘cakap’. Ada penonton yang meminta penjelasan mengapakah lagu Indonesia seperti Si Jali-Jali dan Pesan Kakek disaingkan dengan lagu Sayang Disayang oleh Pak Zubir Said (kelahiran tanah Sumatra Barat) dari Singapura dan Hanya Menari oleh penyanyi Imran Ajmain, seorang artis kelahiran Singapura yang menetap di Malaysia. Ramai penonton Melayu juga mempersoalkan pemilihan Aidli Mosbit (yang melakonkan watak Murni dari Aceh) kerana beliau tidak kelihatan cukup keIndonesiaan.


Tin Kosong

Filem pendek Tin Kosong saya telah diadaptasikan daripada sebuah cerpen tulisan Muhammad Salihin Sulaiman, penerima hadiah Golden Point Award (National Arts Council) dan PENA-MAS (Cikgu Ariff Ahmad Foundation). Ia adalah satu projek filem oleh Majlis Kebudayaan Seni Singapura (National Arts Council) untuk Festival Penulis Singapura (Singapore Writers Festival) 2014. Filem ini mengisahkan tentang seorang warga tua yang bekerja sebagai seorang karung guni yang mengumpulkan barang yang dibuang orang untuk dijual. Bagi saya, ini adalah projek filem pertama saya di mana ceritanya diambil dari bahan sastera yang telah diterbitkan.

Proses penterjemahan kandungan buku kepada wadah visual bukanlah satu perkara yang mudah. Kaca mata pembuat filem berlainan dari kaca mata penulis asal cerita. Namun begitu, filem adaptasi itu masih mengandungi intipati cerita asalnya. Dalam sesi tayangan filem ini, ramai penonton seolah-olah tidak menyedari sumbangan besar penyanyi malar hijau R Azmi kepada muzik pop Melayu pada zaman era Malaya. Lagu Kalau Ke Singapura oleh R Azmi telah digunakan dalam filem Tin Kosong dalam satu adengan muzikal ala Bollywood. (Film review)


Persimpangan

Pada tahun 1993, Polyteknik Ngee Ann telah menubuhkan Jabatan Filem, Bunyi dan Video yang menawarkan kursus perfileman. Kursus ini merupakan kursus perintis bidang perfileman di Singapura. Sebanyak empat puluh pelajar telah diterima untuk kursus Diploma tersebut. Pada 2014, selain daripada Polyteknik Ngee Ann, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) juga menawarkan kursus perfileman di peringkat sijil dan ijazah. Kursus-kursus filem juga diluaskan ke sekolah-sekolah tersebut untuk menjadikan Singapura sebagai pusat media yang unggul di Asia Tenggara.

Namun, kita kini menghadapi beberapa cabaran-cabaran baru. Adakah bilangan graduan filem selaris dengan kualiti filem yang dihasilkan? Sering diperdebatkan bahawa dalam dunia perfileman, daya naluri (aptitude) lebih penting dari kertas kelayakan. Ada juga yang berpendapat bahawa kertas kelayakan dari sekolah perfileman penting sebagai ilmu asas bagi mereka yang ingin bertapak dalam seni tersebut. Pengarah Hollywood terkenal, Paul Thomas Anderson, Quentin Tarantino dan Christopher Nolan, pernah mengatakan bahawa mereka menganggap sekolah perfileman tidak berfaedah kerana filem lebih berkesan jika dipelajari dengan hanya menonton banyak filem.
           
            Namun demikian, saya percaya bahawa setiap ilmu teori yang dipelajari itu penting kerana ia memberi asas mengenai teknik dalam filem dan segi perfileman. Dari situlah, si pembuat filem boleh menimbangkan tentang cara yang paling berkesan bila mereka membuat filem kelak.

Hakikat wadah filem sememangnya ialah untuk bercerita. Teknologi mungkin memudahkan cara membuat filem, tetapi “Story is King”, yang paling penting adalah ceritanya. Alfred Hitchcock pernah berkata, “Skrip, skrip dan skrip adalah perkara yang anda perlukan untuk buat filem berkesan.”

Kamera DSLR telah menunjukkan yang filem boleh dibuat oleh sesiapa sahaja yang mempunyai alat video digital boleh ‘buat filem’. Memang seronok bila kita lihat semakin ramai yang merakamkan luahan jiwa masing-masing dalam wadah filem. Tetapi, ramai yang tidak tahu bahawa apa yang mereka rakamkan dalam kamera tidak semestinya berinti dan bernilai. Ilmu untuk membuat filem bukan hanya terletak pada daya ‘cukup muat’ dengan suntingan yang mewah (flashy edits) dan kesan khas (special effects).


Kesimpulan

Apabila kita menonton layar perak dari Cina dan Bollywood-India, kita sering kagum dengan ikon-ikon mereka seperti Bruce Lee, Jackie Chan, Ang Lee, Amitabh Bachchan dan Aiswarya Rai. Mungkin sudah tiba masanya layar perak Melayu-Nusantara bersatu untuk menerbitkan satu identiti yang ikonik dan dikenali di peringkat antarabangsa. Apabila kita bincangkan tentang filem-filem Nusantara yang kononnya serumpun, konteks perbincangan tersebut terhad pada satu-satunya negeri seperti Malaysia dan Indonesia. Ramaikan orang di Indonesia kenal dengan Aaron Aziz? Dan ramaikah orang di Singapura dan Malaysia yang kenal dengan Reza Rahardian?

Segelintir golongan romantis filem Melayu Singapura dan Malaysia merungut bahawa ‘zaman kegemilangan’ layar perak Melayu sudah lenyap dengan pemergian P Ramlee. Kononnya kemahiran P Ramlee dan ahli-ahli seangkatannya tidak mampu ditiru oleh orang Melayu zaman ini. Tetapi, dengan arus sosio-konteks sekarang, adakah tepat untuk kita mengaitkan filem-filem hasil zaman tersebut dengan filem-filem Melayu zaman sekarang?

Alangkah menariknya sekiranya kita dapat pergi ke era lima puluh tahun hadapan dan bertanyakan kepada masyarakat Melayu pada zaman itu tentang ‘kegemilangan’ filem Melayu (zaman ini). Apakah yang mungkin mereka katakan?



Nota:
Setakat ini, Singapura telah menerbitkan dua filem putar-panjang jiwa Melayu; Sayang Disayang (2014, reeljuice films) dan Banting (2014, Papahan Films). Sayang Disayang telah dipilih sebagai filem yang mewakili Singapura ke Academy Awards®/ Oscars® 2015 dalam kategori Filem Terbaik Bahasa Asing. Ia adalah filem berbahasa Melayu yang pertama dihantar untuk mewakili Singapura.

Sanif Olek merupakan seorang penerbit-pengarah filem dan drama televisyen sejak 1996. Ketua konsultan reeljuice, Singapura. Filem arahannya, Sayang Disayang, mewakili Singapura ke Oscars® 2015 dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

No comments: