Tidak mahu berhenti berharap
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
BIARPUN masih baru dalam bidang pengarahan filem, hakikatnya pengalaman yang diraih lebih sedekad dalam bidang penerbitan televisyen di Singapura tidak boleh dipertikaikan.
Bukan sekadar dikenali dalam dunia televisyen tetapi, Sanif Olek juga cemerlang sebagai pengarah filem pendek.
Buktinya, tiga filem pendeknya yang dirangkumkan dalam trilogi LOVE iaitu Lost Sole, A La Folie dan Ameen kesemuanya sudah menjelajah dunia serta menerima pelbagai pengiktirafan dan mendapat pujian ramai pihak.
Berbekalkan pengalamannya itulah, akhirnya Sanif memberanikan diri untuk mengorak langkah sebagai pengarah filem cereka pula.
Menggunakan judul Ramuan Rahasia, Sanif meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk filem cereka pertama yang diterbitkan oleh syarikatnya, Reeljuice itu apabila ditayangkan.
Sementelah, Ramuan Rahasia juga merupakan filem Melayu dari Singapura yang pertama selepas empat dekad republik itu tidak menghasilkan filem Melayu selepas era Cathay Keris dan Shaw Brothers.
Memang Sanif atau nama sebenarnya Mohamad Sanif Olek mahu melihat filemnya itu mencapai kejayaan yang mampu meletakkan kembali nama Singapura di peta perfileman nusantara khususnya.
Malah, dia begitu optimis dengan jalan ceritanya yang begitu kemelayuan dan mampu menarik perhatian ramai untuk menontonnya kelak.
Namun, sinar yang diharap akan terus menerangi jalannya itu nampaknya semakin ditelan kabus apabila penggambaran filem tersebut kini tergendala seketika.
Semuanya kerana faktor kewangan yang membantutkan seketika proses penggambaran yang kini sudah pun siap 65 peratus.
"Bukan mahu mendabik dada tetapi saya begitu yakin dan percaya dengan kemampuan filem ini yang dapat pergi jauh.
"Malah, saya juga berazam untuk membawa filem ini ke serata dunia menerusi festival filem antarabangsa yang pernah saya sertai sebelum ini.
"Kerana itu, saya mahu mencari dan menemui mana-mana pihak yang sudi untuk membantu saya dari segi dana bagi meneruskan projek filem ini," katanya penuh jujur dalam satu pertemuan bersama Hits di ibu negara, baru-baru ini.
Demi cinta dan minatnya yang begitu mendalam terhadap filem, Sanif langsung tidak lokek untuk mengeluarkan dana dari poket sendiri iaitu $350,000 dolar Singapura (RM850,000) untuk menyiapkan sebahagian filem itu.
Jika semua berjalan lancar dan ada pihak yang sudi menaja serta membiayai projek filem Ramuan Rahasia dalam waktu terdekat ini, Sanif akan meneruskan penggambaran filem tersebut dengan secepat mungkin.
"Apa yang saya lakukan ini bukan untuk diri saya sendiri tetapi juga untuk mengembalikan semula kegemilangan industri perfileman Melayu Singapura.
"Saya menerbitkan dan mengarahkan filem ini juga bukan kerana faktor kenegaraan tetapi atas nama kesatuan Melayu Nusantara.
"Bagi saya, budaya Melayu memang sesuatu yang cukup unik dan apabila ditonjolkan dalam medium filem, ia mampu menarik perhatian ramai khususnya masyarakat dunia untuk menontonnya.
"Setidak-tidaknya, kita memiliki sesuatu yang mampu membuka mata mereka dalam menonjolkan keunikan budaya Melayu itu sendiri," tuturnya penuh merendah diri yang turut menulis lakon layar Ramuan Rahasia bersama temannya, Gene Sha Rudyn.
Pada pertemuan itu, Sanif sempat mempertontonkan sedutan filem Ramuan Rahasia kepada Hits dan apa yang boleh dikatakan, ia cukup mengagumkan.
Bukan sengaja memuji melangit, tetapi melihat hasil kerja Sanif menerusi filem itu memang sewajarnya dipuji.
Ramuan Rahasia bukan sekadar terletak kepada kekuatan jalan ceritanya yang mengetengahkan tentang kasih sayang, cinta dan kekeluargaan.
Tetapi, ia juga cemerlang dari aspek teknikal khususnya sinematografi yang dipersembahkan dengan cukup indah.
Menyambung bicara, Sanif tidak mahu audiens menonton Ramuan Rahasia sebagai tontonan untuk hiburan semata-mata.
Sebaliknya, dia mahu penonton menyelami intipati filem tersebut yang dapat menghubungkan diri mereka dengan perjalanan cerita itu.
"Filem ini sememangnya begitu tebal dengan jiwa Melayunya dari segala aspek dan kerana itu, saya mengetengahkan masakan sambal goreng sebagai subjek utama Ramuan Rahasia.
"Memang sengaja saya pilih sambal goreng kerana ia begitu dekat dengan masyarakat Melayu dan uniknya, berlainan negara, berbeza jugalah cara masakannya.
"Sambal goreng dijadikan sebagai metafora dalam filem ini dalam menyatukan kembali hubungan antara seorang ayah dan anak selepas perginya orang yang tersayang dalam hidup mereka," cerita graduan Jabatan Filem, Bunyi dan Video, Politeknik Ngee Ann di Singapura pada tahun 1996 ini lagi.
Selain itu juga, Sanif menyelitkan beberapa buah lagu klasik popular di kalangan masyarakat Melayu seperti Si Jali Jali, Pesan Kakek dan Sayang Di Sayang bagi memperindahkan lagi filem Ramuan Rahasia.
Mengambil makanan sebagai tema dalam sesebuah filem, hakikatnya bukanlah sesuatu yang asing kerana sebelum ini pun ada pembikin filem antarabangsa yang sudah berbuat demikian.
Antaranya adalah filem Eat Drink Man Woman arahan Ang Lee, Chocolat (Lasse Hallström), Babette's Feast (Gabriel Axel) dan Like Water For Chocolate (Alfonso Arau).
Filem Ramuan Rahasia dimantapkan lagi barisan pelakonnya yang bukan calang-calang dan kerana itu jugalah, Sanif begitu teruja sekali gus berbangga mengarahkan filem ini.
Menerajui filem ini ialah seniman handalan tanah air, Datuk Rahim Razali yang memainkan watak Pak Harun.
Selain itu, beberapa nama hebat dari Singapura yang turut menerajui filem tersebut ialah Aidli 'Alin' Mosbit yang memegang watak sebagai Murni, Rafaat Hamzah (Rosli) dan Keagan Kang (Dave).
Malah, aktor kacak popular, Aaron Aziz juga berlakon dalam filem ini sebagai pelakon pembantu.
Sambil menghela nafas panjang, dia tidak pernah menyangka filem pertamanya itu dibintangi oleh barisan pelakon hebat dan mantap terutama sekali Rahim.
"Tidak pernah saya menyangka untuk seorang aktor ternama seperti Rahim mahu berlakon dalam filem arahan pengarah baru seperti saya.
"Rahim memberitahu saya, dia tertarik untuk berlakon dalam filem ini adalah kerana skrip dan jalan ceritanya.
"Saya cukup hormat dan menggemari lakonan serta hasil karyanya sejak dari filem Abang lagi. Dia sendiri sebelum ini ada menghubungi saya bertanyakan tentang perkembangan filem ini.
"Saya cuma berkata kepadanya kalau sudah ada bajet yang mencukupi, penggambaran akan diteruskan dan dia akan sabar menanti untuk melunaskan tanggungjawabnya," jelas Sanif yang turut memilih Australia sebagai lokasi filem ini selain Singapura.
Thank you Shazryn for the wonderful article.
No comments:
Post a Comment