Sanif cari dana filem Ramuan Rahasia
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
2010/04/27
SANIF Olek atau nama sebenarnya Mohamad Sanif Olek memang terlalu asing di Malaysia. Bagaimanapun, di negara jiran yang juga tempat kelahirannya di Singapura, namanya tidak perlu lagi diperkenalkan. Sanif membina label namanya dalam pengarahan, penerbitan dan pencetus konsep kandungan TV di sana.
Tidak terbatas hanya untuk drama TV, lelaki berusia 40 tahun ini turut memberi variasi kepada penerbitan rancangan berbentuk majalah. Kerjasamanya dengan agensi serta produksi popular di Singapura juga mula mengukuhkan kelangsungan bakatnya.
Graduan sekolah filem Singapura, Jabatan Filem, Bunyi dan Video dari Politeknik Ngee Ann sekitar 1996 ini juga sudah mula berjinak-jinak menerbitkan filem pendek. Tiga karya trilogi cintanya berjudul Lost Sole, A La Folie dan Ameen antara bukti betapa dia mahu melampiaskan bakatnya terhadap medium filem.
Sanif juga bakal mencipta sejarah tersendiri dalam usaha mengembalikan kegemilangan filem Melayu di Jalan Ampas, Singapura termasuk pembabitan produksi Cathay Keris Films dan Shaw Brothers. Selepas lebih empat dekad, Sanif meletakkan harapan yang tinggi kepada buah tangan terbarunya sebuah filem cereka berjudul Ramuan Rahasia.
“Skrip dan konsep filem ini dihasilkan sejak 2001 lagi dan akibat masalah tertentu termasuk soal mencari dana dan penaja, penggambaran filem ini hanya direalisasikan sejak Februari tahun lalu. Bagaimanapun, usaha saya menamatkannya masih tersekat kerana kekurangan dana.
“Setakat ini boleh dikatakan baru 65 peratus siap dan selebihnya masih tergendala buat seketika. Tak saya nafikan memang sukar mencari penaja. Di Singapura sendiri, usaha mendapatkan penajaan sendiri berakhir dengan kekecewaan kerana ada yang masih belum yakin dengan komersial filem Melayu.
“Tetapi saya masih bersyukur media di sana termasuk masyarakat menghargai apa yang saya lakukan. Malah, saya berbangga Cathay Keris Films akan menjadi pengedar,” katanya dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut graduan ijazah sarjana muda bidang media dari University Murdoch, Perth, Australia ini lagi, dia masih mengalu-alukan kehadiran pihak penaja untuk memastikan apa yang dirancangnya membuahkan hasil. Sesiapa yang berminat untuk menyalurkan dana atau bekerjasama dengannya boleh e-melkan ke sanif@reeljuice.net.
“Saya tidak mahu inisiatif ini berakhir dengan kehampaan kerana terlalu lama saya menunggu untuk memastikan ia menjadi kenyataan. Sebelum ini bukan saya hanya mahu fokus kepada TV semata-mata, cuma ruang, peluang dan faktor masa itu agak mencemburui.
“Dengan pengalaman yang saya timba di TV termasuk menghasilkan filem pendek, ia menjadi azimat berguna untuk saya terus bermuhasabah diri. Kesilapan itu pasti ada dan ia menjadi suntikan semangat untuk saya terus belajar memperbaiki kelemahan yang ada dan kumpulkan semangat baru bagi menghasilkan filem pula,” katanya sambil memberitahu kos keseluruhan menghasilkan filem Ramuan Rahasia hampir mencecah RM1 juta.
Ditanya lanjut mengenai filem sulungnya yang berdurasi 90 minit itu, Sanif memberitahu ia menggunakan dwibahasa, Melayu dan Inggeris. Paling penting, Sanif mengangkat simbolik kepada makanan popular masyarakat Melayu iaitu sambal goreng di samping memainkan 10 lagu Melayu popular.
Antara lagu yang dimainkan ialah Si Jali-Jali, Sayang Di Sayang dan Pesan Kakek. Filem ini dilakonkan pelakon hebat Malaysia, Datuk Rahim Razali dan pelakon Singapura yang melebarkan sayapnya di Malaysia seperti Aaron Aziz Rafaat Hamzah, Aidli ‘Alin’ Mosbit dan Keagan Kang.
“Sebelum sambal goreng, saya berdepan dengan dilema sama ada mahu mengetengahkan nasi lemak yang popular di kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Akhirnya sambal goreng juga yang bertuah kerana terpilih. Insya-Allah, selain Singapura, saya tengah berusaha untuk memastikan ia ditayangkan di Malaysia dan Indonesia.
“Filem ini sebenarnya menjadikan faktor makanan itu sebagai metafora atau perlambangan dalam mengungkap erti pahit manis dalam kehidupan. Ia juga akan memaparkan aspek unik dalam budaya dan warisan Melayu serta orang Muslim kepada dunia. Pertembungan pegangan budaya tradisi dan moden juga diperlihatkan,” katanya.
INFO: Sanif Olek
•Memulakan pengajiannya di sekolah filem Singapura, Jabatan Filem, Bunyi dan Video dari Politeknik Ngee Ann, Singapura pada 1993 dan tamat tiga tahun selepas itu.
•Masih solo.
•Sudah 15 tahun membabitkan diri dalam medium TV
•Hanya selepas 10 tahun di TV baru memberanikan diri untuk menghasilkan filem pendek
•Pernah merangkul beberapa anugerah sebagai pencipta kandungan dan pengarah TV contohnya Anugerah Siri Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik untuk drama Segaris Sinar.
•Filem pendek Lost Sole ditayangkan di lebih 30 festival filem antarabangsa termasuk di Hawaii, San Fransisco, New York dan Tehran.
•Turut bergelar pengarah sambilan di Jabatan Filem dan Media, Politeknik Ngee Ann.
•Layari laman sesawang, reeljuice.net untuk maklumat lanjut.
Thank you Zaidi for the wonderful article.
No comments:
Post a Comment