[This review is by FADLI, and reproduced here from his blog]
Sabtu lepas, aku menonton Lost Sole, à la Folie, dan Ameen, trilogi filem pendek oleh Sanif Olek yang ditayangkan julung-julung kali di Malaysia di Annexe Central Market. Ketiga-tiganya filpen yang cantik. Semuanya dibikin dengan perhatian yang tulus oleh Sanif. Aku sebenarnya ingin benar menonton à la Folie kerana filpen itu memenangi filpen terbaik di Jogja-NETPAC Asian Film Festival tahun lepas. Aku suka, sebab Sanif, bukan saja boleh membawa sebuah cerita yang berstruktur, seperti Lost Sole dan Ameen, yang penuh cukup serba serbi rencah penceritaan, boleh tetap memberi kita, para penonton kejutan dan pembukaan baharu yang tidak tersedar oleh kita. à la Folie pula semacam air, laluannya tidak ada batas dan lubang, lancar terus, penonton terus diberi beberapa pandangan, baik yang lepas, "akan datang" dan sekarang tentang paparan masa dan tempat seorang lelaki dan wanita bertemu kembali dan bercinta kembali. Persoalan peranan jantina, persoalan perilaku jantina dibawa ke depan. Ianya gelap tetapi indah, ianya kelakar tetapi masam. Yang memegang kedua-dua watak itu adalah "pemahaman yang sama" di antara segala pemahaman dan perasaan ini. Seakan, pernyataan, itulah cinta. Ini sebuah puisi yang moden daripada Sanif Olek, yang turut mempuisikan kehidupan malam urban Singapura, ruang dan waktu yang hanya sempat diberi kepada rakyatnya untuk bercinta (kerana pagi, sibuk cari wang katanya, haha).
Satu perkara yang menarik, Sanif begitu tulus, begitu lurus, menyatakan, apa-apapun, kita kembali kepada "agama" (walaupun kita tidak memahami misterinya). Ini dapat dilihat dalam ketiga-tiga filem ini, dengan rujukan masjid sebagai latar, baik secara sengaja atau tidak. Lost Sole dan Ameen lebih dekat kepada masjid (Masjid Sultan), di mana banyaknya babak dan adegan berlaku di kawasan itu, sementera à la Folie berlaku di "luar" masjid (menyatakan kedekatan atau kejauhan subjek cerita terhadap pendirian agama). Tetapi kalau kita cedok lagi, kita sedar bahawa Ameen banyak berlaku "dalam" masjid, Lost Sole di antara dalam dan luar masjid, dan à la Folie terus di luar masjid. Di sini, kita akan sedar, tahap kedekatan pertalian rohaniah (mendekati pemahaman Tuhan) dan perhubungan manusia (lebih sosial, lebih berkenaan manusia) antara tiga filem, mengikut kedekatan dan kejauhan subjek kepada latar masjid. Malah, memang, jika dilihat secara betul, Ameen memberi soalan agama yang paling tampak, malah amat "mendalam" tentang pemahaman dan ketentuan agama (jika bukan agama Islam, mungkin, tidak ramai yang menangkap makna filem ini). Sedang Lost Sole lebih "seimbang" menyatakan perincian pertalian antara manusia dan agama (dan mungkin sebab ini, penonton melihat filem ini sebagai paling sempurna), dan kemudian à la Folie yang mengambil agama sebagai cetusan falsafah. Menarik di sini adalah watak Sani Hussin, budak yang "bodoh-bodoh alang" yang aku lihat, bukan sahaja bermain sebagai comedy relief terhadap Lost Sole dan Ameen, tetapi juga sebagai "pencerita" sebenar yang menampilkan ketidaktentuan dan kelemahan jiwa manusia yang mengelilingi watak Sani Hussin (dan jangan lupa, mengelilingi masjid. Sani Hussin tinggal di masjid. Sani Hussin seakan pemahaman Islam yang benar yang tidak dikotorkan). Di sini, aku tertarik melihat dan teringat akan wali besar Singapura, Habib Nuh yang juga dipermain-mainkan orang pada zaman itu sebagai "majnun", walaupun kita tidak tahu kebenarannya.
Aku berharap sangat dunia Sanif Olek ini, yang memberi kita kesegaran terhadap dunia Melayu Singapura dapat dikupas lagi dan lagi. Dengarnya, beliau akan mengarah filem perdananya yang pertama dengan lakonan Rahim Razali, Ramuan Rahsia. Aku tak sabar melihat sentuhan Sanif yang begitu matang, berinspirasi dan faham tentang hal-hal nostalgia Melayu yang sudah lama kita tidak jumpa dalam sinema kita.
Thank you Fadli for the review.
I'm truly humbled by all the support and love. Keep the comments coming, they will be much appreciated by the cast and crew. To all who attended and made this event a successful full-house screening at the Annexe, THANK YOU.
The LOVE trilogy tours Johor Baru, Malaysia, in late May 2010.
No comments:
Post a Comment